Monday 8 March 2010

Penduduk bantah pembinaan kilang simen

Penduduk Bantah Pembinaan Kilang Simen

TEMERLOH - Kira-kira 2000 penduduk di tiga buah kampung, Kampung Gunung Senyum, Batu Sawar dan Pulau Pasir Mandi membantah cadangan kerajaan negeri membina sebuah kilang simen melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNS) bersama syarikat Yeoh Teong Lai (YTL) di Gunung Jebak Puyuh yang terletak satu kilometer daripada kawasan rekreasi Gunung Senyum.

Keputusan membina kilang simen ini mendapat tentangan hebat daripada penduduk kerana memikirkan masa depan mereka yang bakal dihantui pelbagai masalah antaranya masalah kesihatan, gangguan bunyi dan sebagainya.

Pembinaan kilang tersebut dianggarkan bernilai RM1.2 bilion dan nilai keuntungan kasar mencecah RM40 bilion.

Beberapa penduduk yang ditemui Sinar Harian melahirkan rasa kesal kerana kawasan pembinaan tersebut akan merosakkan kawasan rekreasi Gunung Senyum serta membantutkan industri pelancongan di negeri ini. Kawasan rekreasi dikatakan menerima purata 30,000 pelancong dari dalam dan luar negara setahun.

Mohd Sakri Rani, 52, berkata, kawasan pembinaan kilang dan kuari yang dicadangkan di Gunung Jebak Puyuh itu terlalu hampir dengan kediaman penduduk, mengganggu tanaman penduduk seperti kelapa sawit, getah dan kebun buah-buahan serta mencemarkan Sungai Pahang.

Menurutnya, debu daripada kilang itu pasti akan berterbangan masuk ke kediaman penduduk dan mengganggu kesihatan mereka. Penyakit seperti batuk, selesema, sakit tekak, gatal mata dan sebagainya pasti menghantui mereka terutama anak kecil.

“Kehidupan kami tidak lagi aman seperti sekarang sekiranya pembinaan itu diteruskan. Kami bukan bermaksud menolak pembangunan tetapi pembangunan itu perlulah memikirkan aspek masyarakat dan ekosistem alam.

“Apabila kilang ini beroperasi, penduduk akan menanggung kerugian besar kerana debu kilang itu akan menyebabkan pokok kelapa sawit, getah, buah-buahan serta hidupan akuatik Sungai Pahang mati. Penduduk juga berhadapan masalah kejatuhan mutu hasil ladang.

“Penduduk di sekitar kawasan ini serta dua pertiga kawasan Jengka menggunakan sumber air Sungai Pahang dan disalurkan ke loji air Kampung Batu Sawar. Penduduk bimbang akan meminum air yang tercemar daripada kilang tersebut.

“Pengusaha ikan air tawar juga akan mengalami kerugian kerana air Sungai Pahang tercemar menyebabkan ikan sangkar yang diternak seperti patin, tilapia, baung dan sebagainya mati,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mohd Sakri berkata, pembinaan kilang itu juga tidak membawa apa-apa manfaat atau keuntungan kepada penduduk dan ia hanya menyebabkan kerosakan pada alam sekitar.

Menurutnya, Gunung Jebak Puyuh tersebut merupakan gunung tercantik antara lima gunung yang ada di kawasan ini kerana di dalamnya terdapat khazanah yang telah terbina sejak jutaan tahun lalu.

“Di sini ada lima gunung yang perlu dipelihara dan dipulihara antaranya Gunung Senyum, Gunung Jebak Puyuh, Gunung Terus, Gunung Balik Oi dan Gunung Che Ngah,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, kawasan ini adalah tanah bencah (berair) dan berfungsi sebagai kawasan tadahan air. Kawasan hadapan Gunung Senyum pula dipanggil Paya Gunung Hulu, memanjang sehingga ke Gunung Hilir dan meliputi beratus-ratus ekar tanah paya yang ditanam tanaman padi zaman dahulu. Ia juga menjadi kawasan pengeluaran ikan paya terkenal satu masa dahulu. Selain itu, kawasan paya lain yang terkenal ialah Paya Cantik, Paya Teluk Sabak, Paya Badak, Paya Geduai dan Paya Panjang.

Selain itu, Mohd Sakri berkata, apabila cairan simen meresap ke dalam saliran bawah tanah, penduduk bimbang kawasan kampung dan ladang akan menjadi kering kontang, bukan satu atau dua tahun tetapi puluhan tahun.

“Penduduk juga bimbang dengan letupan di kuari kerana ia boleh menyebabkan gegaran dan meretakkan struktur rumah penduduk di sini. Kami diberi penerangan, kilang tersebut adalah mesra alam tetapi kami tidak diterangkan secara terperinci kaedah mesra alam yang digunakan. Penerangan yang diberikan langsung tidak meyakinkan kami di sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Zamri Mohd Zain, 35, berkata, pembinaan kilang simen tersebut merosakkan kawasan rekreasi Gunung Senyum dan merugikan wang rakyat kerana kerajaan mengeluarkan jutaan ringgit untuk membangunkan kawasan rekreasi di sini.

Menurutnya, pembinaan kilang tersebut hanya satu kilometer daripada kawasan rekreasi dan bunyi letupan mengganggu pelancong yang mahu menikmati keindahan flora dan fauna yang ada di sini. Jalan di sini juga sibuk dengan kenderaan berat seperti lori pengangkut tanah, jentera dan sebagainya yang mana mengancam keselamatan penduduk dan orang ramai.

“Bagi generasi kedua kampung di sini mereka juga berasa bimbang dengan pembinaan kilang itu kerana tapak cadangan perumahan dan ladang berkelompok untuk pemuda kampung yang diwartakan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) hampir dengan kawasan kilang itu.

“Penduduk juga bimbang mengalami masalah mendapatkan bekalan air bersih. Ini kerana penduduk kampung di sini dan dua pertiga kawasan Jengka menggunakan air daripada loji air Kampung Batu Sawar,” katanya.

SUMBER: "SINAR HARIAN"

No comments:

Post a Comment