Monday 8 March 2010

Pakatan Rakyat Pahang turut bantah kilang simen Jebak Puyuh

Pakatan Rakyat Pahang turut bantah kilang simen Jebak Puyuh
Oleh Zukri Aksah

KUALA KRAU, 6 Ogos – Setelah terhimpit dengan beban hutang yang semakin bertambah membukit, Kerajaan Negeri Pahang yang terdesak dalam mencari sumber pendapatan negeri yang baharu telah bercadang mahu membina sebuah kilang simen di Gunung Jebak Puyuh, Kuala Krau, dalam kawasan rekreasi Hutan Lipur Gunung Senyum.

Projek yang dicadang untuk dibangunkan dengan kerjasama syarikat YTL yang bernilai RM1.2 bilion ini telah menerima tentangan hebat dari penduduk tempatan, bahkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung tersebut pernah memanggil sebuah stesen televisyen tempatan untuk membuat liputan bantahan.

Ini kerana kerajaan negeri dalam membuat cadangan ini, walaupun mendakwa telah merujuk kepada Jabatan Geologi, Alam Sekitar dan pakar sejarah tempatan, tetapi tidak pernah mendapatkan pandangan Jabatan Pelancungan, Perhilitan, Felda, Felcra, JBA dan persatuan penduduk, padahal merekalah yang akan menerima kesannya nanti.

Gunung Jebak Puyuh merupakan gunung tercantik di antara lima gunung yang terdapat dalam kawasan Hutan Lipur Gunung Senyum, dikatakan memiliki khazanah alam yang telah terbina sejak jutaan tahun lalu, termasuk gua batu kapur yang nilainya dianggarkan termahal di dunia. Tahun lepas sahaja ia berjaya menarik 30,000 pelancong untuk datang melawatnya. Gunung Jebak Puyuh juga adalah penting sebagai kawasan tadahan air.

Atas kesedaran ini, sekumpulan penduduk tempatan telah berhimpun semalam bagi menyuarakan bantahan terhadap cadangan kerajaan negeri ini, kerana bimbang dengan risiko masalah kesihatan, masalah alam sekitar dan terjejasnya sumber ekonomi penduduk di kawasan terbabit.

Atas rasa prihatin, para pimpinan Pakatan Rakyat Kuala Krau turut turun menyertai perhimpunan tersebut sebagai tanda sokongan, antaranya ialah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, YDP PAS Kawasan Kuala Krau, merangkap Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang dan Naib Presiden PAS Pusat, juga Saudara Suhaimi Said, Ketua PKR Cabang Kuala Krau.

Tuan Ibrahim dalam ulasannya, risau pembangunan kilang simen di Jebak Puyuh boleh mengakibatkan Loji Air Lubuk Kawah terdedah kepada pencemaran. Kesan pencemaran ini bukan hanya melibatkan penduduk di sekitar tapak projek, tetapi seluruh perkampungan di sepanjang 50 km Sungai Pahang, dari Kuala Krau ke Temerloh ke Felda Gugusan Jengka, yang berkapasiti penduduk seramai 300,000 orang.

Sementara Suhaimi pula dalam kenyataannya membidas Kerajaan Negeri Pahang yang dilihat tergesa-gesa mahu melaksanakan projek ini semata-mata mahu meraih hasil kewangan yang tinggi, akibat dari tekanan hutang yang semakin berganda dari sehari ke sehari. Pada masa yang sama, pandangan rakyat setempat yang sepatutnya didahulukan telah diabaikan sambil merisikokan pula keindahan flora dan fauna dan keselamatan penduduk di situ.

Bagi penduduk pula, mereka merasa hidup mereka tidak akan aman lagi selepas ini. Risiko paling nampak adalah ancaman debu berbahaya yang bukan hanya mengancam kesihatan mereka, tetapi juga hasil tanaman dan kebersihan Sungai Senyum serta Sungai Pahang.

Kalau cadangan projek kuari di Gua Kota Gelanggi sebelum ini boleh dibatalkan kerana bantahan penduduk atas alasan alam sekitar, sejarah dan pelancongan, maka atas alasan yang sama, ditambah dengan ancaman kesihatan terhadap penduduk, tidak ada sebab untuk kerajaan negeri tidak mengambil tindakan yang serupa, membatalkan terus cadangan pembinaan kilang simen di kawasan ini.

sumber dari "The Malaysian Insider"

No comments:

Post a Comment