Thursday 20 May 2010

Memorandum Selamatkan Gunung Jebak Puyuh

PENGENALAN
Gunung Jebak Puyuh terletak bersebelahan dengan Gunung Senyum, dua bukit batu kapur yang berada dalam daerah Temerloh, Pahang Darul Makmur. Berbeza dengan bukit batu kapur lain yang ditemui di Malaysia, seperti Batu Caves, dan Gua Musang, Gunung Jebak Puyuh dan Gunung Senyum berada di dataran tanah pamah ini memiliki keunikan yang tersendiri. Berusia hampir 240 juta tahun, usia yang menyamai era premian, Gunung Jebak Puyuh dan Gunung Senyum menyimpan pelbagai warisan alam dan khazanah berharga buat negara ini.
Berdasarkan kajian saintifik, bukit batu kapur ini terbentuk hasil mendapan organik di kawasan tersebut yang 240 juta tahun lampau merupakan lautan cetek. Kesan tindakan haba dan tekanan, mendapan ini membentuk batu kapur, kemudian, kesan dari pergerakan kerak bumi, batu kapur ini menonjol bersama dataran lautan cetek membentuk daratan baru, yang kita kenali sebagai Pentas Sunda. Kemudian, tindakan air hujan ke atas batu kapur ini memberi bentuk kepada batu kapur yang akhirnya membentuk gua-gua di dalamnya, seterusnya stalagmait dan stalagtait terbentuk. Memandangkan kedua-dua bukit ini, teletak di dataran tanah paman dan rendah, iklim yang terbentuk di dalam gua-gua di sini memiliki beberapa keistimewaan.
Gunung Jebak Puyuh dan Gunung Senyum berada berdekatan dengan Bandar Temerloh, Pekan Kuala Krau, dan Bandar Jengka, ia dikelilingi oleh hampir 4 buah kampung dan 4 kawasan rancangan Felda Jengka, Jengka terletak di bawah Daerah Maran. Kampung dan kawasan penempatan Felda yang berada di sekitar bukit ini ialah, Kg. Batu Sawar, Kg. Gunung Senyum, Kg. Rumpun Makmur, Kg. Pulau Pasir Mandi, Felda 21, Felda 22, Felda 23, dan Felda 25, secara kasar, jumlah penduduk di kawasan-kawasan tersebut ialah 9,500 orang penduduk. Bagi kawasan felda, tumpuan ekonomi penduduk di sini kebanyakkan ialah peladang di tanah rancangan felda, manakala di kawasan kampung, sebahagian penduduk bergantung pada hasil getah, sawit dan tanaman persendirian.


Sesuai dengan keunikan Gunung Jebak Puyuh dan Gunung Senyum, ia telah membentuk satu iklim yang unik dengan kadar penerimaan cahaya, suhu, kelembapan udara, malah kedudukan dua bukit ini di dataran tanah paman juga menjadikan ia berbeza dengan beberapa bukit batu kapur yang lain. Di sini, dijumpai beberapa spesis yang unik dan terancam, malah beberapa spesis baru yang masih dalam kajian turut ditemui di sini. Antara spesis unik yang ditemui di sini ialah Senyumia minutiflora, sejenis spesis pokok yang hanya dijumpai di sini dalam dunia ini, selain itu, ia juga merupakan satu-satunya spesis yang wujud dalam genusnya.
Di samping kaya dengan flora dan fauna, kedua-dua bukit ini juga menyimpan artifak-artifak era Neolitik. Kebanyakkan artifak ini masih lagi dalam kajian dan masih banyak kawasan di kedua-dua bukit ini yang tidak diterokai, terutama Gunung Jebak Puyuh, dijangka di sini masih banyak bahan-bahan yang tidak dijumpai dan bernilai untuk kajian. Di sini juga terdapat kawasan yang biasanya disebut sebagai taman tersembunyi, satu kawasan lembah di dalam bukit batu kapur yang dipenuhi oleh pokok-pokok renek. Di semenajung Malaysia, kawasan yang berkeadaan seperti ini hanya dijumpai di Gua Musang dan di sini.
KEPENTINGAN JEBAK PUYUH
Gunung Senyum dan Gunung Jebak Puyuh sebagaimana dinyatakan sebelum ini menyimpan pelbagai khazanah alam yang bernilai, terdapat banyak flora dan fauna di sini yang endemik dijumpai di sini.  Selain merupakan habitat kepada spesis-spesis terancam, kedua-dua bukit ini juga merupakan habitat kepada beberapa spesis kelawar. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Dr. Matthew Struebig, terdapat dua jenis spesis kelawar, iaitu yang bersarang di dalam gua dan di kawasan sekitar. Didapati, sebarang ganggguan kepada habitat kelawar di dalam gua akan memberi kesan kepada populasi kelawar di kawasan sekitar. Dianggarkan terdapat hampir 11 spesis kelawar yang berbeza di kawasan kajian iaitu 11 km sekitar Gunung senyum dan Gunung Jebak Puyuh. Selain memainkan peranan sebagai ejen pendebungaan kepada beberapa tanaman penduduk, kewujudan populasi kelawar yang besar ini juga menandakan peranan yang dimainkan oleh kelawar-kelawar ini sebagai kawalan biologi semulajadi kepada serangga perosak tanaman. Kemusnahan atau gangguan kepada mana-mana kawasan sarang kelawar ini akan memberi kesan langsung kepada hasil tanaman penduduk.
Dalam waktu sama, Gunung Senyum yang bersebelahan dengan Gunung Jebak Puyuh selama ini telah dimajukan sebagai sebuah kawasan perlancongan dalam Daerah Temerloh. Sehingga kini, kerajaan telah melabur beberapa juta untuk membina prasarana perlancongan di sini. Berdasarkan statistik pengurusan Hutan Lipur Gunung Senyum di bawah kelolaan Jabatan Perhutanan, Gunung ini menarik banyak pihak, ia dijadikan sebagai sebuah pusat latihan kepada IPT dan sekolah-sekolah, Hutan Lipur Gunung Senyum merupakan sebuah kawasan yang berpotensi untuk dimajukan sebagai kawasan rekreasi dan latihan. Sekiranya ia dikaji dan diberi penambahbaikan, kawasan ini berpotensi untuk dibangunkan sebagai sebuah tarikan perlancongan negara ini. Dalam masa sama, ia mampu memangkin pendapatan kerajaan negeri dan mampu membantu menambah pendapatan penduduk sekitar.
PENDIRIAN MASYARAKAT
Sejak cadangan pembinaan kuari dan kilang simen ini dicadangkan lagi, terdapat suara-suara penduduk yang membantah cadangan ini, ini kerana pembinaan kuari dan kilang simen ini dijangka akan memberi impak negatif kepada kehidupan seharian penduduk sekitar. Pada 14hb hingga 21hb Februari 2010, sebuah kajian sosio ekonomi penduduk dijalankan dengan kerjasama Sahabat Alam Malaysia (SAM). Hasil kajian menunjukkan majoriti penduduk di setiap kampung dan kawasan felda membantah cadangan pembinaan ini. Hasil kajian keseluruhan menunjukkan majoriti penduduk membantah cadangan pembinaan kuari dan kilang simen ini, dengan 71% penduduk menyatakan bantahan terhadap cadangan projek ini. Justifikasi bantahan penduduk kebanyakkannya ialah faktor kesihatan dan kesan negatif kepada sumber ekonomi penduduk yang hampir keseluruhanya bergantung kepada hasil tanaman.


ISU DAN MASALAH
1. Penyertaan masyarakat
Cadangan projek pembinaan kilang simen dan kuari di Gunung Jebak Puyuh tidak mengambil kira pandangan penduduk sekitar yang bakal menerima kesan dari pembinaan ini. Taklimat yang diberikan oleh pihak syarikat, YTL cement corporation bersama kerajaan negeri hanya dihadiri segelintir penduduk, terutama penduduk di tanah rancangan Felda. Hasil kajian yang dijalankan, hanya 17% responden mendapat penerangan dari pihak syarikat dalam taklimat yang diberikan. Majoriti dari responden mengetahui cadangan pembinaan ini dari orang ramai iaitu sebanyak 60% responden. Dalam masa yang sama, masih terdapat penduduk yang tidak mengetahui akan cadangan pembinaan ini, sebanyak 20% responden berada dalam kumpulan tersebut.

Pihak syarikat dilihat gagal memberi gambaran sebenar kesan projek ini kepada masyarakat dalam taklimat tersebut. Penerangan sisi positif semata-mata tidak akan mampu memberi gambaran keseluruhan projek dan impak yang bakal diterima 9,500 populasi penduduk sekitar.
Dalam masa yang sama, sebaik penerangan diberikan kepada wakil-wakil penduduk, tiada sebarang inisiatif pihak syarikat dan badan berkaitan untuk mendapatkan maklum balas dari penduduk secara keseluruhan dalam satu tempoh waktu yang ditetapkan. Di sini, pihak kami melihat tiada penyertaan penduduk dalam proses meluluskan projek ini apabila penduduk tidak diberikan maklumat menyeluruh yang sah dan tepat serta tiada proses disediakan untuk penduduk memberi sebarang maklum balas.
1. Kesan kepada kesihatan penduduk
Dalam cadangan pembinaan kuari dan kilang simen ini, aktiviti pengkuarian akan dijalankan diantara Gunung Senyum dan Gunung Jebak Puyuh. Kilang simen pula akan dibina di tanah tanaman Jengka 21 dengan batu kapur dari kawasan kuari. Kesan aktiviti kuari dan proses penghasilan simen di kilang ini akan memberi kesan kepada penduduk sekurang-kurangnya yang berada dalam radius 3 kilometer dari lokasi projek.
Berdasarkan beberapa kajian saintifik yang dijalankan dalam beberapa kajian yang berbeza, didapati individu yang terdedah kepada debu-debu kilang simen akan mengalami kerencatan pada sistem pertahanan badan. Ini disebabkan bahan kimia yang diproses bersama simen mampu untuk mengganggu proses kimia yang memberi kesan kepada sistem imun badan atau pertahanan dalam badan manusia.
Pertikaian berkenaan kesan-kesan negatif dari kilang simen ini juga berlaku di negeri Perak pada tahun 2008, penduduk yang tinggal di sekitar kilang simen Tasek Cement Corporation (TCC) menyerbu kilang terbabit setelah menerima kesan dari debu kilang simen. Debu dari kilang yang mengandungi arsenik, merkuri dan zink bukan saja menjejaskan kesihatan penduduk, malah juga merosakkan bumbung dan diding kenderaan penduduk. Akibatnya, pengerusi jawatankuasa kesihatan, alam sekitar, sumber manusia terpaksa menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat kes terbabit.
Masalah dari debu-debu kilang simen ini sebenarnya tidak hanya diperkatakan dalam negara ini, malah sebenarnya masalah ini turut sama berlaku di negara lain. Terdapat beberapa keadaan menunjukkan debu dari kilang simen merupakan penyebab kepada kanser larynx. Larynx ialah peti suara manusia yang berada di kedudukan atas sistem penafasan dalam tengkuk manusia. Pada tahun 2004 di Jerman, sebuah kajian untuk menilai kesan debu simen kepada masalah kanser larynx di sana, kajian melibatkan 1026 individu.
Hasil dari kajian yang dijalankan, didapati, tidak seperti debu biasa, debu dari kilang simen mengandungi beberapa bahan kimia seperti Kalsium oksida, Aluminium oksida, Magnesium oksida, Sulfur oksida dan Alkali oksida, bahan-bahan ini mudah melekat pada permukaan peti suara manusia. Bersama bahan-bahan ini ialah Kromium, sebuah bahan kimia yang dikelaskan sebagai agen kanser oleh International Agency for Research on Cancer (IARC) pada tahun 1980. Bahan-bahan ini apabila bertindak bersama akan meningkatkan kemungkinan sesiapa yang terdedah kepadanya secara berterusan untuk menghidapi kanser. Individu yang merokok akan lebih cepat menerima kesan.
Scheuchenzuber et al menyatakan dalam kajian yang dijalankan, pendedahan sistem penafasan pada silika, salah satu bahan kimia yang terdapat dalam debu simen boleh melemahkan sistem imuniti badan kepada Staphylococcus aureus, sejenis bacteria penyebab kepada pelbagai penyakit, antaranya kulit menggelupas. Berdasarkan kedudukan kuari yang dikelilingi penempatan penduduk dengan jarak yang dekat, dijangka kesihatan penduduk berada pada tahap yang membimbangkan andai kata projek ini diteruskan di Gunung Jebak Puyuh.
2. Kesan kepada ekonomi dan keselamatan penduduk
Penduduk yang tinggal di sekitar lokasi projek majoritinya menyara hidup dengan hasil tanaman, terutama penduduk yang tinggal di kawasan penempatan Felda. Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, majoriti penduduk berpandangan ekonomi mereka akan menerima kesan dari projek ini, iaitu 78%. Memandangkan kebanyakkan mereka bergantung sepenuhnya kepada kepada hasil tanaman, kesan ini dijangka lebih besar apabila 96% responden masih tiada alternanif kepada sumber pendapatan mereka andai sumber ekonomi yang menampung sara hidup mereka kini terjejas.



Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Muhammad Zafar Iqbal dari Jabatan Botani Universiti Karachi, Pakistan pada tahun 1998, mendapati debu-debu simen memberi kesan negatif kepada pertumbuhan pokok. Ini kerana bahan kimia reaktif yang diproses bersama simen ini mengganggu sistem metabolik dalam pokok. Ini bertepatan dengan kajian yang dijalankan sebelum ini pada tahun 1966 oleh Stratmann & Van Haut. Dalam kajian ini turut dinyatakan debu simen akan menyebabkan kandungan klorofil, kanji, protein dalam pokok, ini berkurang, seterusnya akan mengurangkan hasil tanaman, dalam masa yang sama, bahan kimia ini menjadikan tanah bersifat alkali yang tidak sesuai untuk tanaman.
1. Keselamatan dan kemudahan awam penduduk
Keselamatan dan kemudahan awam penduduk ialah antara kesan berantai yang akan diterima penduduk kesan dari projek ini. Kemasukkan buruh asing di kawasan kilang akan membawa perubahan kepada sosial kawasan sekitar, masalah-masalah jenayah dijangka meningkat. Peningkatan ini bukan akibat dari kemasukkan buruh asing semata-mata, tetapi turut disumbang oleh perubahan dalam aspek ekonomi penduduk di kawasan tersebut. Kesan dari projek ini, penduduk akan kehilangan sumber pendapatan, dari sini akan menigkat kes-kes kecurian yang akhirnya mengancam keselamatan penduduk di sini. Seiring kemasukkan buruh asing ini, serta perubahan landskap sosial penduduk di kawasan ini, gejala vandalism dijangka akan meningkat, ini akan membawa kemusnahan harta awam yang teruk.
Selain kemudahan awam, infrastruktur jalan raya di kawasan ini juga akan rosak kesan dari aliran keluar masuk lori-lori besar dari kuari yang akan menggunakan jalan raya penduduk di sini. Selain merosakkan jalan raya, kehadiran lori-lori dalam jumlah yang besar ini juga akan mengganggu lalulintas penduduk di sini serta mengancam keselamatan penduduk, terutama kanak-kanak.
2. Kemusnahan alam sekitar
Sekiranya projek ini dijalankan, khazanah alam yang tersimpan dalam Gunung Jebak Puyuh dan Gunung Senyum bakal berhadapan dengan kemusnahan. Penting untuk kita fahami, khazanah alam yang terdapat di bukit batu kapur ini tidak seperti mana tempat-tempat lain. Sebagai contoh, Senyumia minutiflora, sejenis pokok yang hanya dijumpai di Gunung Jebak Puyuh dan Gunung Senyum sahaja di dunia ini, malah ia merupakan satu-satunya spesis dalam genusnya, bermaksud kemusnahan spesis ini juga membawa kepada kemusnahan genus. Selain Senyumia minutiflora, spesis lain yang juga dikalsifikasikan sebagai endemik ialah Impatiens ridleyi, sejenis tumbuhan yang hanya didapati di sini dan Batu Caves, namun, sejak kewujudan kuil di Batu Caves, populasi spesis ini semakin menurun dan Gunung Jebak Puyuh boleh dianggap satu-satunya kawasan untuk memastikan kelangsungan spesis ini.
Spesis-spesis lain yang bersifat endemik ialah Begonia kingiana, Begonia ignorata, Bauhinia decumbens, Sauropus calcareous, Cleisostoma capricorne. Selain spesis yang bersifat endemic, beberapa spesis pelik dan unik turut dijumpai, ada sesetengah spesis ini dianggap sebagai spesis baru. Ini mungkin disebabkan iklim dalam gua di sini yang unik, hidupan di sini beradaptasi dan membentuk beberapa ciri khas, antara yang dijumpai ialah pokok pisang, Musaceae sp. dan Urticaceae (FRI 60086).
Selain kesan kepada biodiversiti di sini, projek ini juga bakal merosakkan ekologi kawasan ini, antaranya ialah kawasan paya yang terdapat diantara lembah bukit batu kapur di sini. Paya di sini berfungsi sebagai ‘water catching’ yang berperanan menstabilkan sungai-sungai yang mengalir di sini. Debu-debu dari kuari akan merosakkan dan mengeringkan paya tersebut, lalu menjejaskan sistem saliran air di sini. Anak-anak sungai di sini akan mengalir turun dan merupakan punca air kepada loji air Kg Batu Sawar, terjejasnya sungai ini akan turut sama menjejaskan sistem di loji air di kg Batu Sawar. Loji air ini membekalkan air kepada 2/3 penduduk kawasan Jengka, yang berjumlah secara kasar 30,000 orang penduduk
3. Kemusnahan warisan alam
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Warisan Negara, di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan Malaysia, di sini terdapat bukti penempatan masyarakat purba di zaman Neolitik dengan kebudayaan Hoabinhian yang pernah diamalkan mayarakat purba ketika itu. Di sini, tersimpan artifak-artifak berkualiti dan berharga yang masih tidak ditemui oleh para pengkaji, nilai-nilai warisan seperti ini amat berharga dan tidak sepatutnya dipandang sebelah mata.
Selain artifak-artifak ini, cirri-ciri semulajadi di gua-gua seperti stalagtait dan stalagmait juga merupakan aset semulajadi yang perlu diperlihara oleh semua pihak. Jika diperhatikan kepada bentuk-bentuk topografi karst pola saliran yang berkaitan dengan itiologi dan struktur geologi, geomorphologi umum yang wujud, seharusnya ia dipelihara dan peninggalan alam semulajadi negara ini sebenarnya adalah aset yang amat berharga, tidak sepatutnya ia dimusnahkan.
Hakikatnya, keindahan alam ini tidak dapat untuk kita bandingkan manfaatnya dengan hasil dari kuari dan kilang simen yang ingin dibuka di sini. Sekiranya, nilai-nilai berharga pada Gunung Senyum dan Gunung Jebak Puyuh ini dipulihara dan dimanfaatkan dengan baik, maka manfaat sebenar Gunung ini dapat dilihat dan dinilai.
TUNTUTAN KAMI
1. Semua maklumat berkaitan dengan projek kuari dan kilang simen ini didedahkan secara telus dan satu kajian bebas dijalankan untuk penilaian impak projek kepada penduduk dan alam sekitar.
2. Masyarakat diberi penjelasana yang jelas tentang kebaikan dan keburukan projek dan dilibatkan secara langsung dalam membuat keputusan.
3. Pihak berkuasa mengambil langkah proaktif mengawal dan memulihara Gunung Senyum dan Gunung Jebak Puyuh.
4. Memanfaatkan Gunung Senyum dan Gunung Jebak Puyuh bagi memperoleh manfaat dari segi nilai-nilai warisan dan semulajadi yang terdapat di sini, daripada memusnahkan alam sekitar.
“SELAMATKAN GUNUNG JEBAK PUYUH”